Lagu Sekolah SMKMB: Sekolahku Terbilang

Demimu SMKMB tercinta
Kami menggenggam tekad
Ilmu selalu ditimba

Demimu SMKMB terbilang
Kami berjanji berusaha
Hingga maju dan jaya

C/O
Kami berjanji berikrar
Mengharumkan namamu selalu
Kecemerlangan menjadi impian
Berilmu dan terbilang

Demimu SMKMB tercinta
Kami menggenggam tekad
Ilmu selalu ditimba

Berdisiplin, berilmu dan berwawasan
Tunggak pegangan kami
Berilmu dan terbilang


Pencipta lagu:
En. Mohd. Asmadi bin Ismail

Penulis lirik:
Pn. Khalijah binti Sirat

Band SMKMB

by Kelab Muzik SMK Machang Bubuk on Monday, April 12, 2010




Band SMKMB baru sahaja ditubuhkan iaitu pada Disember 2009. Band ini dianggotai oleh Toe Lih Sing ( Pemain Kibod ), Muhammad Helmy ( Pemain Kibod ), Mohd. Adam ( Gitar Bass ) dan Azlisham ( Pemain Dram ). Band ini masih memerlukan seorang pemain gitar. Band ini masih belum mempunyai nama. Persembahan pertama band SMKMB adalah bersempena dengan Pertandingan 'Choral Speaking' peringkat M6.


Latihan Semasa Kelas Violin

by Kelab Muzik SMK Machang Bubuk on Friday, April 9, 2010

Ini saja yang dapat dikongsikan buat tatapan semua... Terima kasih kepada Teacher Teoh Siew Khim dan para pelajar di atas kerjasama yang diberikan... :-D

GAMELAN

by Kelab Muzik SMK Machang Bubuk on Tuesday, April 6, 2010



Gamelan
Asal usul
Muzik Gamelan berasal dari Indonesia dan dibawa ke Malaysia melalui penghijrahan orang-orang Jawa pada abad ke-14. Terdapat dua tradisi muzik Gamelan di Malaysia iaitu Gamelan Johor (Gamelan Jawa) dan Gamelan Terengganu (Gamelan Melayu atau Gamelan Pahang). Dalam bahasa Jawa, perkataan ‘gamel’ bererti alat tukul. ‘Gamelan’ merujuk kepada satu set alat muzik (biasanya dibuat daripada gangsa) dipukul dengan pemukul tertentu. Alat muzik gamelan diklasifikasikan sebagai alat idiofon.
Muzik Gamelan Terengganu bermula di istana Pahang pada abad ke-19 apabila menerima set Gamelan dari Riau-Lingga. Ensembel ini juga dikenali sebagai Gamelan Pahang. Muzik ini pertama kali dimainkan sempena perkahwinan kerabat di Raja Pahang dan Lingga pada tahun 1811 dan mula berkembang di negeri Pahang. Walau bagaimanapun, popularitinya semakin merosot setelah kemangkatan Sultan Ahmad. Muzik Gamelan ini kemudiannya dibawa ke istana Terengganu apabila puteri Sultan Ahmad berkahwin dengan Tengku Zainal Abidin dari Terengganu. Dari segi tradisi, muzik Gamelan Terengganu adalah tradisi istana berfungsi sebagai hiburan untuk kerabat di Raja dalam upacara istana.
Tan Sri Moben Sheppard telah bertanggung jawab memperkenalkan muzik Gamelan di luar istana pada tahun 1970-an. Semenjak itu, beberapa pengubahsuaian dalam ciri kemelayuannya telah berlaku terhadap muzik ini. Kini ia dikenali sebagai Gamelan Melayu khasnya apabila dipersembahkan dalam majlis rasmi bagi meraikan pembesar, pemimpin negara luar dan pelancong.

Alat muzik
Set Gamelan Terengganu mengandungi lapan jenis alat iaitu bonang, saron barung, saron penerus/pekin, demong, gambang, kenung, gong dan gendang (jiblon). Set Gamelan Johor atau Gamelan Jawa pula terdiri lebih daripada 23 jenis alat muzik.

Fungsi
Muzik Gamelan Johor atau Gamelan Jawa dimainkan oleh kaum keturunan Jawa yang datang ke Tanah Malayu untuk mengiringi wayang kulit, tarian atau instrumental dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan sebagainya. Ia berfungsi sebagai muzik rakyat dan tidak terhad untuk persembahan di istana sahaja.

Lagu Gamelan


Alat Muzik Tradisonal - Caklempong

by Kelab Muzik SMK Machang Bubuk on Monday, April 5, 2010


Asal Usul
-Caklempong adalah sejenis muzik tradisional masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan. Ensembel Caklempong memainkan peranan penting sebagai muzik rakyat. Caklempong juga dikenali sebagaiTaklempong, Calempong atau Telempong.

-Sehingga kini belum ada keterangan yang jelas mengenai sejarah asal-usul Caklempong. Ada dua pendapat tentang asal-usul Caklempong:
• Caklempong berasal dari kayangan berdasarkan cerita ‘Hikayat Malim Deman’.
• Berdasarkan kepercayaan orang Minangkabau, semasa pertabalan Tunku Laras di Tanah

-Datar Minangkabau, baginda telah ghaib dengan tiba-tiba dan dipercayai dilarikan oleh puteri kayangan. Di sanalah baginda mendengar bunyi-bunyian yang sungguh lunak dan merdu yang dinamakan Caklempong.

-Caklempong dibawa ke Tanah Melayu pada sekitar abad ke 19 oleh peniaga Minangkabau dari Sumatra Barat yang datang dan bermastautin di Negeri Sembilan. Permainan Caklempong ini dianggap sebagai muzik tradisional negeri ini.

Teknik Permainan
-Terdapat tiga cara bagaimana Caklempong dimainkan :
• Caklempong dimainkan secara berdiri di mana bonang diletakkan di atas tepak berkaki.
• Caklempong dimainkan secara duduk di mana tepak tidak berkaki digunakan.
• Caklempong dimainkan untuk mengiringi perarakan sambil berjalan yang dipanggil “Pacik”.

Setiap pemain membawa 2 buah bonang yang digantung pada jari dan diketuk.

Alat Muzik
-Ensembel Caklempong terdiri daripada alat-alat berikut:
• Gereteh

Terdiri daripada 15 biji gong kecil yang dipanggil bonang. Alat ini disusun mendatar di atas tepak. Gereteh berperanan memainkan melodi I dan II.

• Tingkah
Terdiri daripada 8 biji bonang yang disusun mendatar di atas tepak. Tingkah berperanan memainkan kod.

• Sauwa
Terdiri daripada 8 biji bonang yang disusun mendatar di atas tepak. Sauwa memainkan ostinato melodi.

Bonang gereteh, tingkah dan sauwa diperbuat daripada tembaga. Alat-alat ini adalah dalam klasifikasi idiofon yang diketuk dengan pemukul kayu yang berbalut.

• Gendang
Terdiri daripada dua buah gendang iaitu gendang ibu dan gendang anak. Gendang ibu memainkan rentak asas manakala gendang anak meningkah rentak asas. Alat ini adalah dalam klasifikasi membranofon, mempunyai dua muka kulit yang dipukul dengan tangan. Baluh gendang ibu dan anak diperbuat daripada kayu nangka manakala muka kulitnya daripada kulit kambing.

• Bangsi
Bangsi mempunyai tujuh lubang di bahagian atas dan satu lubang di bahagian bawah.

• Serunai
Serunai dan mempunyai 4 lubang.

Serunai dan bangsi adalah sebagai alat tambahan yang memainkan melodi pada tempat-tempat tertentu mengikut gubahan lagu. Alat-alat ini adalah dalam klasifikasi erofon yang ditiup.

Fungsi
Ensembel Caklempong dimainkan untuk hiburan, upacara-upacara rasmi, majlis perkahwinan, mengiringi tarian lilin, tarian piring, pencak silat, dan dramatari randai. Permainan Caklempong secara Pacik dimainkan untuk mengiringi pengantin dan orang kenamaan dalam majlis-majlis rasmi.